Friday, April 1, 2011

MPS perkenal aplikasi ‘mySMS’

SEREMBAN 31 Mac – Majlis Perbandaran Seremban (MPS) hari ini memperkenalkan aplikasi ‘mySMS’ bagi memudahkan warga bandar ini menyemak status cukai taksiran dan kompaun letak kereta.
Yang Dipertuanya, Datuk Abd. Halim Abd. Latif berkata, langkah itu selaras dengan dasar kerajaan di bawah Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bil. 3 Tahun 2008 yang menghendaki setiap agensi kerajaan menyediakan sistem penyampaian perkhidmatan yang mudah dicapai rakyat.
“Sistem interaktif ini disediakan khusus bagi pelanggan di sekitar bandar ini yang membolehkan mereka mendapatkan maklumat berkaitan secara pantas dan efisien pada bila-bila masa sahaja.
“Kewujudan perkhidmatan ini juga membolehkan pelanggan membuat sebarang aduan berkaitan MPS sekali gus menggantikan talian aduan 019-6550160 yang diguna pakai sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Jelasnya lagi, pengguna hanya perlu memasukkan butir semakan maklumat atau aduan seterusnya mengirimkan ke nombor 15888.
“Di samping itu, pengguna juga boleh membuat permohonan borang berkaitan 36 jenis urusan yang berkaitan dengan MPS melalui perkhidmatan baru ini.
“Pelanggan tidak perlu lagi hadir ke pejabat MPS semata-mata untuk mendapatkan borang, sebaliknya hanya perlu memuat turun dari e-mel masing-masing menggunakan mySMS,” ujarnya.
Tambah Abd. Halim, pelanggan juga boleh melayari laman web rasmi MPS iaitu www.mpsns.gov.my untuk menyemak kod borang permohonan perkhidmatan yang diperlukan.

No comments:

Post a Comment